Wednesday, May 19, 2010

JADUAL-JADUAL CERAMAH POLTIK: MEMBONGKAR PENGKHIANATAN PKR

Tuesday, May 18, 2010

'Sibu jadi peringatan kepada parti komponen Cina BN'

Di petik dari Malaysiakini.  Bertarikh 18/05/2010

Keputusan pilihan raya kecil parlimen Sibu yang dimenangi DAP, merupakan peringatan parti komponen kaum Cina dalam BN supaya bekerja lebih bekerja ada masa akan datang, kata ketua penerangan Umno Selangor, Abdul Syukur Idrus.

“Pada pandangan peribadi saya, parti Cina di dalam BN mesti ada perubahan dan anjakan paradigma dari segi kepimpinan, strategi dan pendekatan untuk mengembalikan keyakinan masyarakat Cina kepada BN,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu.

Beliau yang juga ADUN Kuang berkata, parti-parti komponen BN di Semenanjung dan Sarawak harus buat perubahan dari sudut kepimpinan mahupun strategi.

Dalam pilihan raya kecil 16 Mei lalu, calon DAP Wong Ho Leng merampas kerusi parlimen Sibu dengan mengalahkan calon BN Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas Narawi Haron.

Wong menang dengan majoriti 398 undi setelah memperolehi 18,845 undi menewaskan Robert Lau Hui Yew, yang mendapat 18,447 undi dan calon Bebas, Narawi Haron yang meraih 232 undi.

Dalam pilihan raya umum 2008, calon BN, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang merupakan penyandang kerusi Sibu selama lima penggal menewaskan Wong dengan majoriti 3,235 undi.

Abdul Syukur Idrus berkata antara faktor kekalahan BN di Sibu adalah pengaruh DAP yang begitu tinggi di kalangan masyarakat Cina.

Kemungkinan juga, katanya, masyarakat Cina kurang berminat terhadap parti Cina yang lain.

“DAP membawa angin perubahan yang berlaku di Semenanjung. Angin perubahan yang dibawa mungkin dengan menceritakan tentang kejayaan mereka di Pulau Pinang,” katanya ketika dihubung Malaysiakini hari ini.

Abdul Syukur yang juga ketua Umno bahagian Selayang menegaskan peringatan juga perlu diberi kepada parti komponen BN seperti MCA dan SNAP agar lebih bekerja keras pada masa akan datang.

Mengenai langkah yang perlu diambil oleh BN bagi memperbaiki dan mengekal sokongan rakyat, Abdul Syukur berkata, beliau 
menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat bedah siasat.


Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Zubir Saad pula berkata BN kalah di Sibu kerana masih ramai pengundi Cina yang tidak menyokongnya.

Beliau mendakwa, mereka termakan janji Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi peluang kepada kaum Cina dalam pentadbiran negara jika beliau dipilih sebagai perdana menteri.

“Bagaimanapun, janjinya itu adalah sukar untuk ditunaikan kerana Anwar akan mengalami tekanan yang besar terutama sekali dalam mendapatkan sokongan kaum Melayu.

“Anwar merupakan seorang yang pandai berpura-pura dalam mencapai keinginannya sendiri," katanya.

Zubir mendakwa Anwar yang juga ketua pembangkang menaburkan janjinya yang berlainan mengikut kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India demi kepentingannya.

Menjawab soalan, beliau bagaimanapun berkata, kerajaan tidak perlu bimbang dengan kekalahan BN dalam pilihan raya kecil parlimen Sibu.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membuat kajian dan menilai kelemahan BN dalam pilihan raya tersebut.

Tambahnya, anggota komponen BN perlu saling sepakat untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

Mengulas mengenai langkah untuk menarik sokongan pengundi, Zubir berkata, BN perlu mengadakan ceramah yang mengikut “trend” yang diselitkan dengan alternatif lain yang mengikut kaum dan peringkat usia.

Dalam hubungan itu, beliau memberi contoh persembahan nasyid, nyanyian 60-an dan persembahan yang tidak keterlaluan.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa cara tersebut telah dilakukan oleh Pakatan Rakyat sepanjang minggu berkempen dalam pilihan raya di Sibu untuk menarik sokongan pengundi.

Sementara itu, ahli parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan pula berkata kekalahan BN di Sibu disebabkan pelbagai isu yang memburukkan kerajaan.

Menurutnya, BN tidak berkesempatan untuk menjelaskan sebarang isu tersebut kepada pengundi.

Menurutnya, kelambatan BN dalam memberi jawapan yang muktamad dalam sesuatu perkara yang diutarakan, telah mempengaruhi kempen pilihan raya.

Bagaimanapun, Abdul Rahman tidak bimbang dengan kekalahan BN dalam pilihan raya tersebut kerana berpandangan bahawa ia bukan penentu arah pilihan raya yang ke-13.

Tegasnya, jentera BN di Sarawak perlu berkerja lebih keras untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

“Saya tidak bersetuju dengan pandangan (pemimpin DAP) Lim Kit Siang bahawa kemenangan di Sibu merupakan sesuatu yang luar biasa kerana sebelum ini PUN, parti pembangkang pernah menguasai Sibu.

“Menang atau kalah bukan sesuatu gambaran yang cukup jelas”, ujarnya

Ditanya mengenai langkah yang perlu diambil BN untuk meraih sokong pengundi, Abdul Rahman berkata beliau bersetuju dengan Najib untuk mengubah corak berkempen agar mendapat sokongan yang lebih baik, terutama generasi kini.

Thursday, May 13, 2010

Lebih ramai bakal keluar PKR





KUALA LUMPUR 12 Mei – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mendedahkan beberapa Ahli Parlimen serta pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertindak meninggalkan parti itu dalam tempoh dua minggu ini.
Menurutnya, kesemua yang berhasrat keluar daripada PKR itu ialah kalangan mereka yang menjadi antara pengasas kepada penubuhan parti serta semangat reformasi satu ketika dahulu.
Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama-nama besar yang menyatakan pendirian untuk berbuat demikian.
Zulkifli berkata, PKR kini umpama parti yang sedang ‘menggali kuburnya sendiri’ berikutan ramai ahlinya sudah mula hilang rasa percaya serta yakin terhadap parti dan kepimpinan atasannya.
‘‘Tunggulah dalam masa dua minggu ini. Kebanyakan yang akan keluar parti ialah mereka yang mempunyai kualiti tersendiri.
‘‘Mereka ini antara penggerak awal kepada semangat reformasi baik peringkat atasan mahupun akar umbi.
‘‘Dua punca mengapa mereka mahu meninggalkan PKR.
“Pertama, kerana sudah hilang kepercayaan dan keyakinan kepada kepimpinan serta parti dan keduanya, PKR sudah hilang hala tuju perjuangan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zulkifli dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini mendakwa sekurang-kurangnya dua Ahli Parlimen serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri akan bertindak meninggalkan PKR tidak lama lagi.
Jelas beliau, beberapa pemimpin di peringkat bahagian parti di Perak, Kedah dan Selangor juga turut menyatakan hasrat sama sehingga membuatkan bahagian berkenaan dibubarkan.
Zulkifli turut mendakwa bahawa kalangan mereka ada menghubunginya untuk mendapatkan nasihat berhubung hasrat berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, di peringkat awal penubuhan PKR, terdapat beberapa pemimpin bertindak meninggalkan parti kerana sudah nampak hilangnya fokus serta hala tuju parti tersebut.
Tetapi, katanya, selepas Pilihan Raya Umum 2008, peringkat akar umbi pula sudah mampu ‘menghidu’ kepincangan yang berlaku di dalam parti sehingga membuatkan mereka melakukan tindakan sama.
Mengenai kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melihat tindakan ahlinya keluar parti sebagai sesuatu yang biasa berlaku menjelang pilihan raya, Zulkifli menjelaskan bahawa ia adalah satu sindrom penafian Anwar yang tidak mahu mengakui hakikat.
‘‘Tindakan ini (keluar parti) bukannya bermusim atau semasa hendak pilihan raya sahaja.
‘‘Sebelum ini, ramai bekas pemimpin PKR bertindak keluar parti bukan dalam tempoh berlakunya pilihan raya,’’ katanya.
Katanya, Anwar dan beberapa pemimpin PKR turut melabelkan tindakan berkenaan sebagai proses pembersihan.
‘‘Saya bersetuju dengan kenyataan itu. Tetapi, ini adalah ‘kerja’ Allah yang mahu menyucikan mereka agar terus meninggalkan PKR,’’ tambahnya.
Kelmarin, di kawasan Parlimen Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu, seramai 1,700 ahli PKR turut bertindak keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap Anwar sekali gus menyebabkan beberapa cawangan PKR di dalam Parlimen itu dibubarkan.

Tuesday, May 11, 2010

UMNO Terus Kekal Meneraju

UMNO Terus Kekal Meneraju

May 7th, 2010 | By administrator | Category: Rencana & Pendapat
Tanggal 11 Mei 2010, genap 64 tahun parti keramat UMNO dilahirkan. Parti yang telah banyak menabur jasa. Melahirkan pejuang-pejuang tulen yang berkorban jiwa dan raga, keringat dan air mata demi mempertahankan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanahair.
Semangat perjuangan memartabatkan maruah orang Melayu bersemarak apabila British mengisytiharkan kertas putih mengenai rancangan Malayan Union pada 22 Januari 1946. Tindakan biadap dan tidak menghormati perasaan orang Melayu oleh British mencetuskan segala-galanya.

Gagasan Malayan Union harus ditentang habis-habisan. Orang Melayu tidak rela melihat Tanah Melayu menjadi tanah jajahan takluk British.
Kesabaran orang Melayu jangan diambil mudah. Jangan dijolok sarang tebuan!
Kuasa raja-raja Melayu perlu dipertahan. Malayan Union mahu menghapuskan kuasa raja-raja Melayu. Malayan Union mahu memberi rakyat asing hak sama rata dengan rakyat tempatan. Kemarahan orang-orang Melayu memuncak dan membara.
Ledakan daripada semangat itu, satu kongres tergempar diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 untuk mengumpulkan kekuatan Melayu mencabar British yang begitu tidak sensitif mengemukakan Gagasan Malayan Union. British harus diajar. Mereka perlu tahu orang Melayu, pantang dicabar. Jangan diusik!
Kongres itu dihadiri wakil dari 41 pertubuhan Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan dalam kongres itu juga dicadangkan satu pertubuhan Melayu dengan tujuan menyatupadukan orang Melayu.
Susulan itu, dalam bulan yang sama, dua lagi kongres diadakan iaitu pada 30 dan 31 Mac 1946 di Pejabat Akhbar Majlis di Kuala Lumpur dan di Rumah Persatuan Penang Peranakan, Batu Road, Kuala Lumpur.
Tiga bulan selepas kongres pertama di Kelab Sultan Sulaiman, orang-orang Melayu membuktikan komitmen untuk bersatu padu menentang Malayan Union.
Sejarah tercatat. 64 tahun yang lalu, di Istana Besar Johor, di Johor Bahru pada 11 dan 12 Mei 1946, parti keramat UMNO secara rasmi ditubuhkan. UMNO menyatupadukan orang Melayu yang bertekad untuk menentang Malayan Union.
Pada mulanya UMNO dicadangkan oleh Dato’ Onn Jaafar dengan nama “ Pertubuhan Melayu Bersatu” atau “ United Malays Organisation’. Bagaimanapun Tuan Za’aba mencadangkan ditambah perkataan “kebangsaan’ atau “national’ selepas perkataan “Pertubuhan’. Akhirnya kongres bersetuju untuk menamakan “ Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’ (PEKEMBAR) atau “United Malays National Organisation’ (UMNO).
Setelah penubuhan UMNO, orang Melayu menunjukkan semangat perpaduan yang amat memberangsangkan. Mereka bergerak dalam satu nada melawan Malayan Union. Perjuangan menentang Malayan Union mendapatkan sokongan paling padu.
Dalam tempoh dua tahun Malayan Union dapat dihapuskan, kemudian digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan secara rasmi pada 1 Februari 1948.
Perjuangan UMNO tidak terhenti di situ. Sandiwara British perlu ditamatkan. Walaupun Persekutuan Tanah Melayu telah dikembalikan kuasa di di negeri masing-masing kepada Raja-raja Melayu, tetapi British masih menjajah.
Mereka masih berkuasa dalam pentadbiran dan mengaut segala hasil kekayaan sumber asli. Orang-orang Melayu diketepikan tanpa mendapat apa-apa pembelaan. UMNO tidak rela melihat martabat bangsanya diperkotak-katikkan. Perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British harus digerakkan seperti mana menentang Malayan Union.
UMNO harus mempelopori pula perjuangan memerdekakan Tanah Melayu. Orang Melayu tidak mahu lagi dijajah. Cukuplah penderitaan dan penghinaan yang diterima sejak mula dijajah seawal 1511.
Pada 24 dan 25 Mac 1951, Majlis Mesyuarat Agung Setengah Tahun UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur meluluskan usul yang dikemukakan oleh wakil Pemuda supaya slogan “Hidup Melayu’ diganti dengan “ Merdeka’.
Tunku Abdul Rahman Putra selaku Yang DiPertua UMNO sebelum meluluskan cadangan tersebut dengan tegas menyatakan:
“ Lima tahun dahulu kita sama-sama meruntuhkan ”Malayan Union’, maka sekarang ini kita akan robohkan pula “Persekutuan Tanah Melayu’ ini yang tidak berguna langsung dan kita akan dirikan kemerdekaan bagi bangsa kita.”
Kerajaan British, apabila menyedari UMNO sudah mula bergerak dan bersatu ke arah memperjuangkan agenda menuntut kemerdekaan, mensyaratkan kemerdekaan tidak akan diberi sekiranya negara ini masih dalam keadaan darurat dan tidak ada kerjasama dan persefahaman antara kaum.
UMNO bijak mengatur strategi. UMNO bersungguh-sungguh mahukan negara ini bebas merdeka. Apa sahaja halangan akan dirempuh. Bumi tercinta ini perlu Merdeka!
Dengan kerjasama MCA, serta kejayaan besar UMNO/Perikatan dalam pilihanraya 1955, British akhirnya terpaksa akur di atas tuntutan UMNO.
Akhirnya tarikh keramat kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dipersetujui pada 31 Ogos 1957.
Perjuangan dan jasa UMNO tidak terhenti setakat menentang Malayan Union dan memerdekakan Tanah Melayu. Selepas menikmati kemerdekaan, UMNO sebagai tonggak parti perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional menumpukan perjuangan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertahankan serta meninggikan martabat bangsa, agama dan tanah air.
Ladang-ladang getah dan kelapa sawit dibuka untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Pelbagai program pembangunan dalam ekonomi, pendidikan, agama, dan sebagainya dirancang secara sistematik dan strategik.
Institusi yang berkait rapat dengan pembangunan rakyat seperti RISDA, FELDA, FELCRA, MARA dan sebagainya diwujudkan.
Mengimbau penubuhan UMNO 64 tahun yang lalu, pastinya tidak ada sesiapa yang dapat menolak hakikat betapa besar jasa dan pengorbanan yang parti itu telah lakukan untuk menjadikan Malaysia negara yang bermaruah dan rakyatnya memiliki jati diri unggul.
Ahli-ahli UMNO kini melebihi tiga juta. Sebuah parti politik tertua dan terunggul di dunia, tidak ada sebuah parti politik di dunia yang dapat menandingi rekod pencapaian UMNO. Mendapat kepercayaan rakyat untuk terus menerus memerintah dalam kesemua 12 pilihan raya umum.
UMNO harus terus dipertahankan. UMNO tetap terus relevan. UMNO mesti terus menjadi parti peneraju.
Semoga Allah sentiasa memberi laluan yang mudah, mengurniakan rahmat, memberkati dan memelihara serta memberi kekuatan kepada UMNO, parti yang begitu banyak berjasa memartabatkan maruah bangsa, agama dan tanahair

Dari:
UMNO Online

Thursday, May 6, 2010

Pilihan Raya Kecil Sibu Mungkin Saksikan Pertandingan Tiga Penjuru


04 Mei, 2010 13:54 PM
Pilihan Raya Kecil Sibu Mungkin Saksikan Pertandingan Tiga Penjuru
SIBU, 4 Mei (Bernama) -- Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei ini setakat ini nampaknya akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Pegawai Pengurus Pilihan raya Wong See Meng memberitahu pemberita di sini pada Selasa, setakat ini dua set kertas pencalonan telah diambil, satu oleh seorang wakil calon Barisan Nasional Robert Lau Hui Yew dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) manakala satu set lagi diambil oleh calon Bebas.

"Calon DAP Wong Ho Leng yang dipilih oleh pakatan pembangkang Sarawak untuk bertanding masih belum datang ke pejabat saya untuk mengambil kertas pencalonan," katanya.

Terdahulu Wong menghadiri taklimat yang disampaikan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada para pegawai, pilihan raya dan mereka yang terlibat dalam pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil ke-11 sejak pilihan raya umum pada 2008 itu, diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen Sibu selama lima penggal Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April di Kuala Lumpur akibat kanser hati.

Sementara itu, Wong berkata sebanyak 45 pusat pengundian akan diadakan dengan yang terkecil di SJK(C) Kai Nang di Ensurai dengan 143 pengundi berdaftar.

"Pusat pengundian terbesar ialah di Tadika Taman Rajang dekat sini dengan kira-kira 3,484 pengundi berdaftar.

Pusat pengundian paling jauh ialah SK Sungai Rasau, kira-kira sejam setengah perjalanan menaiki bot panjang yang mempunyai kira-kira 300 pengundi berdaftar," katanya.

Wong berkata pusat penamaan calon dan penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Suarah Sibu.

Kerusi Palimen Sibu mempunyai kira-kira 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos.

Mereka termasuk 5,740 Melayu (10.5 peratus), 36,389 Cina (66.7 peratus), 12,050 Iban (22.1 peratus), 54 India (0.01 peratus) dan kaum lain 289 (0.53 peratus).

-- BERNAMA