Tuesday, January 19, 2010

Mansuh PPSMI Pada 2012 Bukan Keputusan Terburu-Buru - Muhyiddin

Friday, 10 July 2009



Berita Dari Bernama - 10.07.2009

KAMPAR, 10 Julai (Bernama) -- Keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 bukan satu pelaksanaan yang terburu-buru dan gopoh, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata keputusan pemansuhan PPSMI pada 2012 itu dibuat setelah menimbang faktor yang penting untuk meningkatkan pengajaran Bahasa Inggeris di mana segala persiapan yang sempurna dapat disediakan dalam tempoh dua setengah tahun.

Ini, katanya termasuk kelengkapan yang cukup, bahan yang digunakan, makmal bahasa yang baik serta guru-guru yang mahir.

"Kita telah mengambil kira tempoh masa itu untuk membuat persiapan yang sempurna. Tidak boleh tergopoh-gapah dalam soal pendidikan ini. Saya faham pejuang-pejuang bahasa ini kalau boleh esok mahu mulakan. Tetapi kita perlu realistik dan sebab itu kita menganjurkan tempoh itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Festival Minda Malaysia kelima anjuran Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Malaysia Mental Literacy Movement dan Kolej TAR di sini Rabu ini.

Muhyiddin berkata dua setengah tahun sebelum PPSMI dimansuhkan adalah jangka masa yang mencukupi untuk melaksanakan segala persiapan dengan sempurna, sambil menambah kerajaan tidak mahu mengulangi masalah yang sama ketika melaksanakan PPSMI sebelum ini.

Ketika diminta mengulas gesaan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) supaya dasar itu dimansuhkan secara menyeluruh termasuk di peringkat universiti, Muhyiddin berkata perkara itu diserahkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk dibincangkan.

"Di peringkat Tingkatan Enam... matrikulasi, memang komponen bahasa Malaysia itu digunakan di samping di situ juga terdapat kekuatan dalam bahasa Inggeris.

"Kita serahkan kepada (kementerian) Pengajian Tinggi untuk menentukan bagaimana caranya supaya proses itu akan sampai ke peringkat tertinggi walaupun di universiti sudah banyak terdapat penggunaan bahasa Inggeris.

"Kita mahu kemahiran berbahasa Inggeris (oleh pelajar) di peringkat itu mahir tetapi tidak mengetepikan kekuatan bahasa kebangsaan," katanya.

Muhyiddin berkata terdapat peningkatan pelajar di negara ini sebelum PPSMI dilaksanakan apabila mereka berjaya menjadi graduan dan profesional terutama dalam bidang perubatan serta kejuruteraan, bagaimanapun selepas PPSMI diperkenalkan majoriti pelajar tidak berupaya.

Trend kejatuhan kedudukan negara yang menjunam ke ranking ke-20 berbanding 10 sebelum ini bagi bidang Matematik dan ranking ke-21 berbanding 20 dalam Sains amat membimbangkan, katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan memberi penjelasan kerana ada pihak yang masih tidak bersetuju dengan pemansuhan PPSMI itu, Muhyiddin berkata kerajaan tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

"Keputusan yang kita buat adalah mengambil kira fakta dan kenyataan. Kita tidak hanya memilih satu dua sekolah sahaja tetapi lebih 10,000 sekolah di seluruh negara terutama di luar bandar di mana bahasa Inggeris pada mereka sebagai bahasa kedua dan sebagai bahasa asing," katanya.

Beliau berkata dalam membuat keputusan itu, kerajaan mengambil kira kepentingan majoriti dan ini tidak bermakna kepentingan minoriti ketepikan.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment