Sunday, 21 June 2009
Utusan Malaysia Online : 20/06/2009
Najib Tun Razak berkata sesuatu kepada Jamil Khir Baharom (duduk, kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Ke-99 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA
Oleh ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 19 Jun - Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam hari ini bersetuju supaya diwujudkan satu saluran televisyen Islam bagi menampung keperluan dan permintaan siaran program-program berbentuk kekeluargaan, sosial, budaya serta ekonomi yang mencakupi tuntutan syariat.
Perkara itu dicapai dalam mesyuarat dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak serta dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri di pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, mesyuarat akur bahawa banyak perkara dalam Islam bukan sahaja perlu disalurkan menerusi media malah maklumat dan faktanya harus tepat serta difahami khalayak.
''Contohnya berkenaan Baitul Mal yang mana kita mahu umat Islam membayar zakat tetapi pada masa sama juga kita mahu khalayak mengetahui menerusi media elektronik ini ke mana wang zakat itu disalurkan.
''Kita juga mahu mempertontonkan produk yang ditawarkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dalam memberi pinjaman kecil-kecilan, namun liputan mengenainya tidak menyeluruh turun ke bawah. Hal yang sama dengan siaran radio IKIM yang mencatat rating tertinggi yang akan diperluaskan skopnya dalam saluran televisyen Islam itu nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Jamil Khir berkata, rangkaian televisyen Islam itu nanti berupaya menjadi pilihan untuk umat Islam negara ini memperoleh maklumat tepat mengenai sesuatu perkara yang menyentuh syariat Islam. ''Kita tidak mahu program-program yang bertentangan dengan adat susila, agama serta budaya rakyat Malaysia ditayangkan kepada umat Islam. ''Dengan itu nanti akhirnya akan tercapailah matlamat Islam itu sebagai cara hidup," katanya.
0 comments:
Post a Comment