Tuesday, March 2, 2010

10 Ahli Parlimen lagi bakal keluar partidakwa bekas Setiausaha Agung PKR








Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Salehuddin Hashim tidak memberi reaksi macam orang terperanjat apabila Agendadaily mengaju soalan mengenai desas desus ada kumpulan 10 ahli parlimen PKR lagi yang akan keluar parti.
Soalan itu ditujukan padanya semasa turut serta dalam sidang akhbar ahli parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang umum keluar PKR dan jadi ahli parlimen Bebas di sebuah servis apartmen di Jalan Ampang,Kuala Lumpur pagi Isnin.

Beliau selamba mendakwa jumlah itu mungkin lebih.
“Lebih rasanya. Ada yang akan keluar. Tolak kumpulan sosialis, tolak NGO yang liberal, tolak kroni... anda kira sendiri" ujarnya.

Kata-kata Salehuddin ini mencuri perhatian ramai.Ini mengenangkan sebelum ini beliau merupakan kenalan rapat dan orang kepercayaan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu kedudukannya sebagai Setiausaha Agung sebelum ini membolehkan beliau ‘ tahu banyak’ hal luar dalam parti itu.

Salehuddin juga sebelum ini tidak pernah memberitahu secara terbuka sebab sebenar meletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung walaupun ada spekulasi yang mengatakan beliau sudah fedup dengan isu dalaman parti itu.

Selain itu hari ini juga beliau mengesahkan sudah keluar dari PKR dua minggu selepas meletakan jawatan Setiausaha Agung Januari lalu.

Tidak kurang menarik ialah setakat ini tidak ada siapapun dikalangan pimpinan PKR yang kedengaran berani ‘ menyentuhnya’.

Malah ramai kalangan pemerhati politik yang menilai tindakan Salehuddin letak jawatan dan kemudiannya keluar parti mempunyai impaknya yang tersendiri atas PKR.
Sebelum ini Sallehuddin hadir sama semasa sidang akhbar Ahli Parlimen PKR Bayan Baru umum keluar parti di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 12 Februari.
Salehuddin bagaimanapun menafikan beliau menjadi dalang dibelakang tindakan keluar parti Tee Beng dan Zahrain.

Seperti juga kehadirannya semasa sidang akhbar Zahrain,jawabnya semasa ketika ditanya soalan berkenaan sama... yakni kedatangannya hari ini adalah atas jemputan Tee Beng.

Salehuddin mengaitkan perkembangan semasa ini berpunca daripada sikap pucuk kepimpinan PKR "mengejek mereka yang keluar PKR macam kebudak-budakkan."
"Bila-bila lama-lama ejek orang, maka orang keluar, rumah kita sendiri tak ada orang lagi, kita seorang sahaja," katanya.
Selain itu katanya sikap kepimpinan yang mengamalkan "pelukan asmara" dengan hanya gemar menerima orang baru tetapi pada masa yang sama meminggirkan ahli dan pemimpin lama menjadi punca kepada keadaan sekarang.
Sebenarnya desas desus lebih ramai ahli parlimen PKR akan keluar parti itu sudah tercetus sebelum ahli parlimen PKR Bayan Baru Datuk Seri Mohd Zahrain Hashim jadi ‘pembuka langkah’ meninggalkan parti itu dan jadi ahli parlimen Bebas pada 12 Februari.
Kumpulan 10 ahli parlimen PKR ini sudah dua kali bersama-sama membuat kenyataan dalam isu pergaduhan ahli parlimen PKR Kulim Bandar Baru Zulkifli Noordin dengan ahli parlimen PKR Subang R.Sivarasah.
Mereka mengadakan sidang media bersama-sama di Parlimen mempertahan Zulkifli ketika Sivarasah mencadangkan parti memecat Zulkifli.
Kumpulan itu sekali lagi berkumpul membantah tindakan Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng memijak poster pemimpin UMNO dan BN Perak di konvensyen DAP Perak di Ipoh tahun lalu.
Selain Zahrain, Tan yang sudah ‘keluar PKR’, kumpulan itu dikatakan terdiri daripada Zulkifli, Wee Choo Keong (Wangsa Maju) Mohd Yusmadi Yusof (Balik Pulau), Azan Ismail (Indera Mahkota) Ahmad Kassim (Kuala Kedah), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai), Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh) dan Gobalakrishnan (Padang Serai).
Wee juga antara yang lantang mengkritik pimpinan Guan Eng tetapi belum dikenakan tindakan atau dipanggil lembaga disiplin PKR seperti Zulkifli dan Tan.
Sejauh mana mereka ini serius mahu meninggalkan PKR tidak diketahui tetapi mengambil kira Zahrain yang dilihat sebagai ‘kepala’ Kumpulan 10 ini sudahpun keluar, perkembangan selanjutnya menarik untuk diperhatikan.
Tumpuan utama kini pasti pada Zulkifli yang sudah membuat pendirian tidak akan keluar PKR kecuali parti yang memecatnya.
Beliau meletakkan pimpinan tertinggi PKR dalam keadaan serba salah dan tertekan dengan pilihannya itu kerana sikap celuparnya itu pasti menyebabkan PKR seolah-olah di atas bara api kerana apabila beliau membuka mulut, pasti ada pemimpin PKR kepanasan.
Bagaimanapun, Anwar dikatakan pasti tidak berpeluk tubuh melihat satu demi satu ahli parlimen partinya ‘angkat kaki’.
Khabarnya dalam isu Azan yang melepaskan jawatan dalam PKR Pahang, beliau bertindak cepat-cepat ‘kow team’ dengan memujuk ahli parlimen itu jangan keluar parti.
Difahamkan, Anwar menugaskan beberapa pemimpin yang rapat dengannya memantau kumpulan 10 ahli parlimen terbabit termasuk memujuk mereka supaya kekal dalam PKR.
Usaha memujuk ini diakui Salehuddin ketika diajukan soalan itu dalam sidang media sama.
Katanya, Anwar akan melakukan apa yang patut untuk memujuk supaya tiada lagi wakil rakyat keluar PKR.
Salehuddin mengakui, Pakatan Rakyat akan hilang kedudukan satu pertiga kedudukan kerusi parlimen dengan tindakan keluar parti itu.
Apabila ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) akan memperoleh balik majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, beliau berkata :
"Mereka keluar jadi ahli bebas, Pakatan Rakyat akan hilang satu pertiga (kedudukan kerusi) tetapi tidak bermakna BN akan menang (dapat balik) majoriti dua pertiga," katanya.
BN hanya memerlukan 11 kerusi parlimen untuk kembali menguasai dua pertiga Dewan Rakyat.
Sementara itu Ahli Parlimen PKR kawasan Nibong Tebal umum keluar PKR kerana kerana sangat kecewa dengan kepimpinan parti.

Kata Tee Beng beliau akan jadi Ahli Parlimen Bebas serta merta.

Pada 24 Februari baru ini Tee Beng mengadap Jawatankuasa Disiplin PKR selama dua jam kerana mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PKR Dr Syed Hussein Ali.

Beliau mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menyelesaikan isu dalaman parti dan lebih obses untuk menawan Putrajaya.

“Saya juga kesal dengan sikap kepimpinan PKR yang sanggup mengorbankan maruah dan prinsip parti hanya kerana mahu memastikan impian mereka ke Putrajaya tercapai,”katanya.
Menurut Tee Beng ini termasuk mengambil sikap menutup mata terhadap apa yang didakwanya keangkuhan yang ditunjukkan oleh Guan Eng.

Beliau mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang itu sangat melampau sehingga melayan wakil rakyat PKR seperti anjing.
“Beliau suka mempolitikkan isu-isu remeh dan langsung tidak boleh menerima teguran dan kritikan serta cuba menjadikan kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan milik keluarganya,’’ katanya.
Tee Beng memberitahu beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Guan Eng; Ali Parlimen Jelutong, Jeff Ooi dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang telah menuduh beliau mencampuri urusan tender terbuka di negeri itu.
Dalam pilihan raya Mac 2008, Tee Beng menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Zainal Abidin Osman yang juga penyandang kerusi parlimen Nibong Tebal dengan majoriti 3,087 undi.

Berikutan ini PKR kini tinggal 29 Ahli Parlimen.DAP pula ada 28 dan PAS 23. BN ada 137. – 1/3/2010

0 comments:

Post a Comment