Thursday, April 15, 2010

SESSI MEMANASKAN BADAN DI SIBU


14 April, 2010 20:57 PM
Pertarungan Rejang Bakal Pertemukan Dua Musuh Ketat
KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Kebanyakan penganalisis dan orang ramai menyifatkan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu yang bakal diadakan sebagai antara pertarungan politik paling sengit di negara ini yang melibatkan dua musuh ketat di Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan DAP.

Pilihan raya kecil yang digelar "Pertarungan Rejang" ini dijangka menyaksikan pelbagai aksi hangat memandangkan kedua-dua parti akan berusaha secara habis-habisan bagi menjamin kemenangan dan untuk menyelamatkan maruah.

"Kalau anda minta saya buat penarafan tentang pentingnya pilihan raya ini dari skala satu hingga 10, saya akan beri 11. Demikianlah betapa pentingnya pilihan raya ini bagi kami," kata pengerusi DAP Sarawak Richard Wong Ho Leng.

Beberapa penganalisis politik percaya kedua-dua pihak mempunyai kekuatan seimbang daripada segi politik, khususnya selepas pilihan raya negeri lepas pada 2006 yang menyaksikan DAP mencatat prestasi terbaiknya dalam pertarungan dengan SUPP di Sarawak.

Sibu, antara pusat perniagaan dan kewangan penting di Sarawak, merupakan kubu kuat SUPP dan DAP di bahagian tengah negeri berkenaan. Sejak hampir 30 tahun lepas, kedua-dua parti itu sentiasa berusaha untuk meraih sokongan penduduk bandar ini, yang kebanyakannya menggunakan loghat Foochow dalam percakapan harian.

Pada pilihan raya umum 1982, DAP membuat kejutan dengan menawan kerusi berkenaan apabila calonnya Ling Sie Ming mengalahkan orang kuat SUPP Tan Sri Dr Wong Soon Kai dengan kelebihan hanya 141 undi.

Apabila kawasan Parlimen Lanang diwujudkan bersebelahannya pada 1990, kerusi itu juga jatuh ke tangan DAP pada pilihan raya umum yang menyaksikan pemimpin mudanya Jason Wong Sing Nang mengalahkan calon SUPP Tieu Sung Seng dengan majoriti 3,973 undi.

Pada pilihan raya itu jugalah Datuk Robert Lau bertanding bagi kerusi Parlimen Sibu dan menguasai kerusi itu selama lima penggal berturut-turut hinggalah beliau meninggal dunia pada 9 April lepas, yang menyebabkan pilihan raya kecil ini perlu diadakan.

Kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Assek yang terletak dalam kawasan Parlimen Sibu pula menjadi kubu kuat SUPP, tetapi kedudukan itu berakhir apabila Soon Kai, presiden SUPP yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, kalah mengejut kepada Ho Leng dengan majoriti 226 undi.

Kekalahan Soon Kai di kampung halamannya memberi pukulan hebat terhadap SUPP dan akhirnya menamatkan kerjaya beliau dalam arena politik.

Malah, beberapa penganalisis politik menyamakan gegaran kekalahan Soon Kai itu dengan kekalahan Tun Dr Lim Chong Eu di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 1992. Berikutan kekalahan Soon Kai, Tan Sri Dr George Chan dilantik sebagai presiden SUPP.

Walaupun Ho Leng mencatat kejayaan cemerlang dengan mengalahkan Soon Kai bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Assek pada 1996, beliau kalah kepada calon muda SUPP Daniel Ngieng lima tahun kemudian. Pada pilihan raya negeri yang sama juga, SUPP merampas semula kerusi Pelawan, satu lagi kerusi negeri di Sibu, melalui Vincent Goh.

Bagaimanapun pada pilihan raya negeri 2006, Ho Leng menawan semula kerusi Bukit Assek daripada Daniel Ngieng dengan memperoleh majoriti 4,751 undi.

Walaupun SUPP mencatat prestasi lemah pada pilihan raya negeri lepas, parti itu masih mampu mempertahankan semua kerusi Parlimen yang dikuasainya sebelum ini, kecuali bandar Kuching, yang menjadi milik DAP sejak pilihan raya umum lepas.

Namun demikian, beberapa penganalisis dan pemerhati politik tertanya-tanya sama ada perkara serupa dapat diulangi pada pilihan raya kecil ini apabila pembangkang, khususnya DAP, akan mendapat sokongan dan bantuan daripada luar Sarawak.

"Pada pilihan raya umum lepas, sumber berselerak di merata tempat. Tapi, kali ini, semuanya boleh ditumpukan di satu tempat. Isu nasional juga akan memainkan peranan penting. Sebab itulah tiada jaminan keadaan sekarang akan sama dengan keadan sebelumnya.

"Malah, isu nasionallah yang menyebabkan parti ini hilang dua kerusi Parlimen pada 1982 dan 1990," kata seorang anggota SUPP.

Dengan kehadiran lebih 2,000 anggota pasukan keselamatan dari dua kem tentera dan polis serta undi Melayu yang padu dari kawasan Nangka serta undi kaum Iban dari Bawang Assan, yang semuanya dianggap sebagai "jaminan keselamatan" bagi BN, sokongan pengundi Cina, yang mewakili 60 peratus daripada jumlah pengundi, tetap menjadi faktor utama yang akan menentukan kemenagan bagi parti yang bertarung dalam pilihan raya kecil ini.

"Sekiranya DAP mampu meraih 70 peratus undi Cina, parti itu boleh memberi masalah kepada SUPP, walaupun ia mendapat sebahagian besar undi Melayu dan Iban," kata seorang penganalisis daripada SUPP.

Daripada segi calon, kedua-dua pihak tahu siapakah yang akan dipilih oleh SUPP, malah DAP Sibu sendiri berani mengatakan ia akan menjadi pertarungan antara "Robert Lau Junior" dari SUPP dan seorang daripada lapan pemimpin DAP Sibu, termasuk Ho Leng, atau mungkin juga seorang calon wanita dan pendatang baru Alice Lau.

"Robert Lau Junior" merujuk kepada Robert Lau Hui Yew, 45, seorang peguam dan anak bongsu seorang ahli perniagaan tempatan terkenal, yang juga pengerusi syarikat Kumpulan KTS, Lau Swee Nguong. Calon yang diramalkan ini juga adalah dua pupu kepada mendiang Robert Lau.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment