Sekalipun DAP dikatakan begitu agresif menjalankan pendaftaran pengundi muda, namun kalangan pemimpin terbabit tidak mudah berputus asa.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihaknya tidak pernah berhenti berusaha menarik pengundi dan buktinya sebanyak 70 peratus atau lebih 370,000 ahlinya telah mendaftar sebagai pengundi di seluruh negara.
Beliau berkata, Puteri UMNO sentiasa melaksanakan pelbagai usaha serta program untuk menarik minat golongan muda menyertai politik.
''Memang benar pengundi muda merupakan penentu kemenangan sesebuah parti di dalam pilihan raya. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Puteri sebagai sayap mewakili orang muda untuk melaksanakan program mendekati mereka secara bersungguh-sungguh terutama bagi membetulkan tanggapan salah terhadap kerajaan BN,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai 62 peratus daripada pengundi muda yang dikatakan masih 'duduk atas pagar' mengenai parti pilihan mereka.
Rosnah berkata, usaha mendekati golongan muda yang belum berdaftar sebagai pemilih sedang giat dijalankan.
''Paling penting menangani masalah pengundi atas pagar adalah melalui gerak saraf pada musim pilihan raya,'' katanya.
Ketua Pemuda MIC, T. Mohan berkata, pihaknya terus menjalankan pelbagai cara untuk menarik kira-kira 50,000 belia India bagi menyokong BN menjelang akhir tahun ini.
Berikutan itu, beliau berkata, MIC bukan sahaja akan bekerja keras mendaftar pengundi baru malah menyedarkan golongan belia India supaya jangan sesekali terpesona dengan dakyah pembangkang.
''MIC tidak bimbang dengan usaha DAP yang dikatakan telah berjaya mendaftar golongan belia sebagai pengundi kerana itu bukan bermakna mereka akan menyokong parti pembangkang itu,'' katanya.
Bagaimanapun katanya, Pemuda MIC juga mempunyai cara tersendiri supaya PRU-13 akan berpihak kepada BN.
Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong menganggap kebanyakan pengundi muda yang dikatakan berada 'di atas pagar' merupakan peluang bagi parti itu untuk mendapatkan sokongan golongan tersebut.
Jelas beliau, MCA sendiri sebenarnya mengenal pasti beberapa punca mengapa golongan muda bersikap sedemikian.
''Kebanyakan golongan muda lebih mengutamakan keperluan hidup semasa seperti mementingkan kerjaya dan mencari keselesaan hidup. Mereka kurang menitikberatkan soal politik.
''Ia merupakan 'pasaran' yang belum diterokai lagi. Maka, pada 15 Ogos nanti, kita akan mengadakan taklimat khas bagi merancang satu gerak kerja khas untuk mendekati golongan muda,'' katanya.
0 comments:
Post a Comment