Tuesday, January 19, 2010

Jangan jadi penghukum - Jamil Khir

Friday, 14 August 2009






Jamil Khir Baharom sambil diperhatikan Muhammad Ali Hashim (kiri) mengatakan sesuatu kepada pelajar Rumah Anak Yatim dan Miskin Taman Baiduri Dengkil pada Majlis Pelancaran Tijarah Ramadan Musim Ke-5/2009 di Kuala Lumpur, semalam.



--------------------------------------------------------------------------------
ARKIB : 18/08/2009 Utusan Malaysia Online
(http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm)

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
saiful.hasam@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Seorang pendakwah yang menyeru kepada kebaikan mesti menjaga adab dengan tidak menjadi penghukum terhadap umat Islam yang lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom berkata, perbezaan ideologi politik tidak menghalalkan perkara itu kerana Allah memerintahkan umat Islam supaya menjaga adab dengan semua hamba-Nya hatta dengan seekor binatang sekalipun.

Tegas beliau, Allah juga menegah hamba-Nya daripada memberi gelaran yang tidak baik kepada orang lain demi menjaga keharmonian hidup.

''Sebagai daie atau pendakwah, kita perlu menjaga batas-batas seorang daie dan tidak boleh menghukum orang itu betul atau salah.

''Sejauh mana seseorang itu mengakui dia Islam maka dia adalah hamba Tuhan, oleh sebab itu saya amat mengharapkan sama ada kita di dalam mana mana parti politik, batas akhlak sebagai orang Islam perlu dijaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program televisyen, Tijarah Ramadan musim ke-5 di sini hari ini.

Hadir sama ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Jamil Khir mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa ahli UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Terdahulu sewaktu berucap pada majlis pelancaran program televisyen itu, Jamil Khir berkata, usaha yang diambil JCorp dan syarikat yang mengambil bahagian dengan memberi sumbangan kepada Tabung Tijarah Ramadan wajar dicontohi pihak korporat lain.

Beliau berkata, ia secara tidak langsung mengajak masyarakat supaya turut sama menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan.

''Saya berharap dana sumbangan Tabung Tijarah Ramadan bukan sahaja disalurkan dalam bentuk infaq yang bersifat untuk menyara kehidupan semata-mata bahkan digembleng dalam bentuk infaq produktif yang akhirnya membolehkan penerima berdikari," katanya.

Tijarah Ramadan yang diterbitkan JCorp dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Biro Korporat, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) akan disiarkan di TV1 setiap pukul 6 petang sepanjang Ramadan ini.

Program berkenaan turut memberi peluang kepada orang ramai untuk menyumbang pada Tabung Tijarah Ramadan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan nilai RM2, RM5 dan RM10.

0 comments:

Post a Comment