Oleh SOBRI SUDIN
Pendekatan 'lawatan mesra' Datuk Seri Najib Tun Razak membuahkan hasil lagi. Selepas Puduraya, Jalan Masjid India, UiTM, UIAM, Flat Bukit Sentosa dan Kampung Baru, kini tampaknya ratusan 'nelayan marhaen' dan keluarga mereka di Kuala Chenang, Langkawi, Kedah mendapat nikmat.
Meskipun dalam rangka percutian peribadi bersama keluarga, namun lawatan ramah mesra tanpa protokol, membuktikan bahawa gagasan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' bukan sekadar retorik kosong.
Hasil maklumat yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharom mengenai keperluan komuniti nelayan di kampung itu, maka impaknya sebanyak RM7 juta diluluskan segera bagi pembinaan pangkalan nelayan baru termasuk jeti pendaratan ikan. Ia diharap akan membolehkan aktiviti perikanan dipertingkatkan sekali gus menambah pendapatan dan memperbaiki kualiti hidup.
Sebagai rakyat Kedah, penulis berasa cukup malu kerana perihal rakyat negeri yang sepatutnya diketahui terlebih dahulu oleh kerajaan negeri akhirnya ditangani oleh pemimpin 'besar' negara di peringkat pusat.
Persoalannya, adakah kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak nampak masalah yang dihadapi oleh nelayan di Kuala Chenang?. Tiada upayakah kerajaan negeri menangani isu berbangkit yang dihadapi mereka?.
Di mana tanggungjawab sebagai pemimpin negeri jika masalah rakyat diremehkan, tindakan gagal dijayakan?. Apakah Menteri Besar Kedah terus dengan sindrom biasanya, 'saya tidak tahu' atau 'depa tak bagi tau saya pun'.
Jika mahu menuruti amalan murni Khalifah Umar Al-Khattab misalnya, pemimpin perlu keluar dari zon selesa atau pejabat pentadbirannya. Umar Al-Khattab sanggup memikul guni gandum untuk diberi kepada keluarga miskin yang dilihatnya sendiri menderita kekurangan makanan. Tidakkah Azizan sedar memimpin negeri bukan sekadar berpaksikan slogan atau imej gambar beliau di papan iklan yang sekadar menukilkan ayat-ayat suci al-Quran? Semuanya akan menjadi tidak bermakna jika gagal dilaksanakan.
Jika mahu mengikut jejak dan contoh Khalifah Umar Abdul Aziz pula, baginda tidak mengambil jizyah dari bukan Islam yang bernaung di bawah pemerintahannya.
Kedua-dua pemimpin itu baik Umar Al-Khattab atau Umar Abdul Aziz, mereka benar-benar berlaku ihsan dan adil dalam pemerintahan. Sikap ihsan, adil, bertanggungjawab dan usaha menyejahterakan rakyat bukan sekadar menjadi mainan bibir atau retorik kosong. Akan tetapi ia diupayakan, dikuatkan 'political will' mereka untuk dipastikan pelaksanaannya.
Dasar dan pandangan rakyat mereka terima, dengar, faham dan laksana, bukan seperti kerajaan pimpinan di Kedah dan Pulau Pinang, ibarat mencurah air di daun keladi.
Barangkali Azizan boleh berkata sinis, lawatan Najib sesuai dengan statusnya sebagai Perdana Menteri. Perdana Menteri perlu menjaga kebajikan kira-kira 28 juta rakyat Malaysia. Jika begitu di mana peranan beliau sebagai pemimpin utama Kedah?. Tiada terdayakah menjaga dan meneliti kebajikan ratusan keluarga nelayan Kuala Chenang dan kira-kira 1.8 juta rakyat Kedah?
Azizan mungkin juga boleh berkomentar, peruntukan RM7 juta yang diumumkan Najib adalah wajar kerana ia merupakan hak rakyat dan nelayan di situ. Justeru bagaimana pula tanggungjawab beliau sebagai pemimpin Kedah?. Apakah rakyat Kedah tidak punyai hak untuk menuntut Azizan melestarikan janji manifesto 'Kedah Sejahtera' yang nyaring dijanjikan dahulu.
Apa yang berlaku, pelaksanaannya terlalu lambat atas pelbagai alasan. Meskipun ada Exco Kerajaan Negeri bergelar 'ustazah' menegaskan janji manifesto sudah 80 peratus dilaksanakan, tetapi rakyat bukannya bodoh dan mereka bukanlah komoditi yang boleh dikelirukan pemikiran. Perincikan angka 80 peratus itu. Terangkan sejelasnya dan tunjukkan buktinya. Rakyat Kedah masih menyimpan helaian kertas janji manifesto Pas yang bertemakan 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'.
Azizan juga mungkin boleh berkata, Kerajaan Pusat mempunyai banyak wang. Soalnya, apakah Kerajaan Negeri kekurangan wang?. Jika kurang, berusahalah untuk mencarinya. Jana ekonomi supaya pendapatan negeri bertambah dan keperluan rakyat dapat dipenuhi. Pemimpin ibarat bapa, rakyat adalah anak. Adakah logik jika anak memerlukan biaya persekolahan dan pelbagai kemudahan, ia akan dijawab oleh si bapa dengan alasan mudah, 'tiada duit'. Di mana prinsip tanggungjawab sebagai seorang bapa?
Malu penulis sebagai anak jati Kedah berterusan kerana sifat Azizan yang masih dalam zon selesa menyebabkan perihal rakyat Kedah tidak didekati secara bersungguh. Keperluan mereka tidak ditangani, banyak isu disapu di bawah permaidani dan diambil mudah. Lihat sahaja biaya bagi anak-anak bangsa yang gagal bersekolah kerana kemiskinan dan kedaifan. Ia banyak diupayakan usaha menyekolahkan kembali anak-anak tersebut hasil inisiatif GPMS Cawangan Kedah.
Itu sekadar satu contoh, banyak lagi boleh diketengahkan. Jika alasan kerajaan negeri adalah tiada peruntukan atau wang, tidak perlulah meninjau masalah rakyat dan mengumumkan peruntukan besar. Gerakkanlah tindakan, simpatilah kepada rakyat, selami denyut rasa dan isi hati mereka. Mulakan dengan perkara 'simple' terlebih dahulu.
Lawati dan jenguklah longkang tersumbat, sampah bertimbun dan persekitaran yang kurang kondusif di sekitar Rumah Awam Mergong yang hanya 15 minit jika berjalan kaki dari pusat pentadbiran Azizan di Wisma Darul Aman.
Umumkan peruntukan segera. Tidak perlu RM7 juta, cukuplah sekadar RM7 ribu agar gotong royong dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar, Jabatan Bomba dan Jabatan Kesihatan dapat digerakkan, misalnya bagi membersihkan longkang tersumbat yang menjadi sarang pembiakan aedes.
Tanpa mengira ideologi politik, lawatilah anak-anak miskin yang gagal atau tidak mampu bersekolah di setiap daerah. Bantu mereka dengan dana kerajaan negeri untuk membolehkan mereka kembali mengenal ilmu.
Tinjaulah mana-mana masjid, surau milik kerajaan negeri dan umumkan serta laksanakanlah kerja-kerja pengindahan biarpun dengan dana yang kecil. Untuk masjid-masjid di setiap daerah, tidak perlu RM7 juta, cukup sekadar RM7 ribu untuk dilengkapi dengan peralatan multimedia, dan sistem siaraya yang lebih baik agar khutbah dan penyebaran dakwah di masjid boleh dicanggihkan untuk menarik perhatian generasi muda.
Lawatilah gerai-gerai penjaja yang berselerak di sekitar bandar raya Alor Setar, di bahu jalan, di tepi longkang, di bawah pokok yang kebersihan penyediaan makanannya boleh diragui, lalu usahakanlah agar dapat didirikan Medan Selera setempat, cukup dengan binaan struktur asas, kemudahan air paip dengan kos tidak perlu RM7 juta tetapi sekadar RM170,000, setiap satu. Ini barulah membantu menyejahterakan ekonomi rakyat.
Jika perkara-perkara kecil sebegitu masih gagal untuk dilaksanakan, janganlah bercakap tentang agenda besar yang lain. Janganlah mendabik dada, bahawa kerajaan Kedah pimpinan beliau terbuka untuk teguran dan kritikan. Takut pula kalau berlaku tidak adil dan zalim sama ada secara langsung atau tidak langsung. Namun teguran dan kritikan tidak bermakna jika sekadar ibarat 'mencurah air ke daun keladi'. Nasihat tidak punyai peranan jika ego menguasai pentadbiran negeri.
Ironinya, tidak perlu dibawakan contoh dan usaha mengupayakan program pembangunan dan kebajikan rakyat dalam skala yang besar.
Azizan hanya perlu belajar menangani isu kecil terlebih dahulu. Jika gagal membuktikan pelaksanaannya, maka terbukti kepimpinan beliau kurang visi. Jika tidak berupaya mentadbir atau terasa berat memikul amanah, maka letaklah jawatan. Masih ramai tokoh dinamik lain dalam Pas yang bertenaga dan berkemampuan menjadi Menteri Besar. - Utusan Malaysia
Last Updated (Thursday, 18 February 2010 02:23)
0 comments:
Post a Comment