Saturday, February 20, 2010

Tidak perlu sidang khas Dewan Rakyat - Najib

 

MARAN 19 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Dewan Rakyat tidak perlu sama sekali mengadakan sidang khas untuk membincangkan usul menggugurkan pendakwaan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kes itu tidak ada kaitan dengan kerajaan dan kepentingan negara.

Tegas beliau, pendakwaan kes tersebut bersifat peribadi iaitu hanya membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25.
''Kes ini tidak melibatkan kerajaan. Ini sebenarnya soal antara Mohd. Saiful Bukhari dengan Anwar.
Jadi kalau apa-apa pun, perkara ini kena diselesaikan antara mereka berdua. Ia tidak melibatkan kerajaan, ia bersifat peribadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen UMNO Pahang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jengka di sini, hari ini.
Najib mengulas gesaan pakatan pembangkang semalam yang mahukan sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan usul menggugurkan pendakwaan kes liwat Anwar.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, sidang khas berkenaan perlu bagi menetapkan pendirian terhadap perbicaraan Anwar yang kini menjadi bahan jenaka masyarakat dunia.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, hanya Perdana Menteri selaku Ketua Majlis iaitu ketua kerajaan berhak memanggil sidang khas atau tergempar Dewan Rakyat bagi membincangkan sesuatu isu.
Najib menjelaskan, beliau hanya boleh memanggil sidang khas Dewan Rakyat jika berlaku sesuatu isu membabitkan kepentingan negara.
Sebaliknya, tegas beliau, kes pendakwaan liwat membabitkan pemimpin pembangkang itu tidak melibatkan dasar mahupun pendirian kerajaan.
''Ini berkaitan aduan seseorang yang bekerja di pejabatnya (Anwar). Ini soal peribadi. Lagi pun kes ini telah masuk mahkamah, mana boleh tarik kes," jelasnya.
Tambah Najib, pembangkang cuba mengalihkan pandangan rakyat seolah-olah kes tersebut ada kaitan dengan politik.
Mengulas tindakan 50 ahli Parlimen Australia yang mendesak supaya pendakwaan terhadap Anwar digugurkan, beliau berkata, kerajaan akan memberi penerangan berhubung kes tersebut bagi menjelaskan kedudukan sebenar.
Ini kerana, menurut beliau, kumpulan Ahli Parlimen negara tersebut hanya mendapat maklumat daripada pembangkang yang memanipulasikan isu berkenaan.
''Kita (kerajaan) kena terangkan sebab mereka (Ahli Parlimen Australia) tidak dapat maklumat sebenar. Maklumat diperoleh hanya daripada pembangkang," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Najib memberitahu, Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat (AS) telah menjelaskan kepada Washington mengenai kedudukan sebenar kes pendakwaan liwat tersebut.

0 comments:

Post a Comment