Thursday, April 8, 2010

10 KPI untuk perkasa pentabiran agama



Datuk Jamil Khir Baharom.
KUALA LUMPUR, 8 April — Jabatan Perdana Menteri menetapkan 10 petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai sasarannya tahun ini dalam usaha memperkasakan pentadbiran hal ehwal agama Islam negara termasuk dalam bidang pendidikan sosio-ekonomi umat Islam.
KPI itu ialah penyeragaman undang-undang keluarga Islam, memartabatkan program Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa), menaikkan elaun guru Kafa, menubuh stesen televisyen “Al-Hijrah”, pengukuhan industri makanan halal, mewujudkan manual rujukan prosedur kes perceraian di pejabat agama dan mahkamah syariah, memartabatkan institusi tahfiz negara, pembangunan hartanah wakaf, memajukan industri Ar-Rahnu dan memantapkan pengurusan Tabung Haji.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan agensi-agensi di bawah JPM di sini hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata penyeragaman undang-undang keluarga Islam dilakukan menerusi penguatkuasaan Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2006 Akta A1261 yang diharap dapat diwartakan pada September ini.
Usaha memartabatkan program Kafa ialah dengan mewujudkan Skim Perkhidmatan Guru Kafa dan menaikkan elaun guru Kafa akan memastikan elaun mereka melepasi RM720 yang merupakan paras kemiskinan, katanya.
Jamil Khir berkata JPM akan memartabatkan institusi tahfiz dengan memberi pengiktirafan yang lebih luas kepada para huffaz dan menubuhkan Dewan Huffaz Kebangsaan.
Stesen televisyen Islam, “Al-Hijrah” yang dikendalikan oleh JPM, kini dalam proses percubaan dan pelancarannya bakal dilakukan pada 7 Dis.
Pengukuhan industri makanan halal akan dilakukan menerusi pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 dan beliau berharap pembentangan pindaan itu dapat dilakukan pada Jun. Manual rujukan mengenai prosedur kes perceraian di pejabat agama dan Mahkamah Syariah, bertujuan memberi maklumat lengkap berkaitan prosedur-prosedur dalam kes perceraian, boleh digunakan pada Jun depan.
Pembangunan hartanah wakaf pula akan membabitkan 339 projek kecil berimpak besar di hartanah wakaf dan dijangka beroperasi pada suku ketiga tahun ini, kata Jamil Khir.
KPI memajukan industri Ar-Rahnu melibatkan pembangunan satu cawangan Ar-Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi setiap kawasan Parlimen dengan sasaran 100 cawangan beroperasi penuh pada suku keempat tahun ini.
Untuk memantapkan pengurusan Tabung Haji pula melibatkan satu pelan komprehensif bagi memendekkan tempoh menunggu untuk bakal haji kepada 10 tahun berbanding tempoh menunggu 20 tahun pada masa ini.
“Warga emas dan orang kelainan upaya akan diberi keutamaan dalam pelan itu, yang akan beroperasi pada suku kedua tahun ini,” kata Jamil Khir. — Bernama

0 comments:

Post a Comment