Sunday, February 21, 2010

Penduduk kampung hilang sabar




Che Intan Baharom (kiri) bersama Sariah Saidin tidak dapat membasuh kuali dan periuk yang digunakan ketika kenduri disebabkan ketiadaan air di Kampung Padang Chapa, Alor Janggus, Alor Setar, semalam.



ALOR SETAR 19 Feb. - Kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Padang Chapa, Alor Janggus, di sini semakin hilang sabar apabila bekalan air ke kampung itu kerap terputus sejak 20 tahun lalu.Masalah itu semakin buruk sejak lima tahun lalu sehingga penduduk terpaksa 'menagih simpati' kepada Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) supaya menghantar bekalan air bersih dengan lori terutamanya apabila ada majlis kenduri.
Rata-rata penduduk mendakwa, mereka hanya boleh menikmati bekalan air selepas pukul 12 tengah malam sehingga 6 pagi dan pada waktu siang bekalan akan terputus sama sekali.
Seorang penduduk, Che Intan Baharom, 43, berkata, keluarganya tidak pernah merasai nikmat menggunakan air bersih secara selesa kerana bekalan yang diterima amat tidak memuaskan.

"Kalau saya buka paip di waktu siang, hanya angin sahaja yang keluar dan waktu malamnya pula, air terlalu perlahan.
"Memang susah nak buat kerja-kerja rumah terutama memasak, membasuh dan membersihkan diri," katanya.
Che Intan menambah, masalah semakin rumit kerana majlis perkahwinan adik bongsunya akan diadakan pada 28 Februari ini.
"Kebanyakan penduduk kampung yang nak menjalankan kenduri kahwin akan meminta pihak SADA menghantar bekalan air dengan lori.
"Tapi sampai bila nak harapkan mereka hantar air? Saya rasa mereka (SADA) perlu buat sesuatu untuk selesaikan masalah ini kerana ia sudah lama berlaku," katanya.
Seorang lagi penduduk, Sariah Saidin, 66, mengakui masalah itu sudah lama berlaku dan keadaan menjadi semakin rumit jika sesebuah rumah itu mempunyai ramai penghuni.
"Dalam rumah saya sendiri, dekat 15 orang yang tinggal di sini termasuk anak dan cucu.
"Kadang-kadang saya terpaksa berjaga malam untuk menadah air di dalam bekas plastik bagi menampung kegunaan hari esok," katanya.

0 comments:

Post a Comment